From:
Date: 15 Sep 1999
Time: 21:24:19
Ulasan
Kita taklah hairan kalau peguam cara ingin menegur Karpal tapi Al Kataki pun turut sama seolah-olah dia pakar undang-undang dan kehakiman. Buat malu Malaysia aje.
Kita rasa yang penting kita berkata benar walau dalam forum apa. Mesti bercakap benar dan mengikut undang-undang.
==================================================================================
PEGUAM CARA NEGARA TEGUR KARPAL SINGH
PETALING JAYA, 15 Sept (Bernama) -- Peguam cara Negara Datuk Heliliah Yusof menegur Karpal Singh kerana menyerang kehakiman Malaysia semasa satu sessi perbincangan mengenai hukuman mati pada Persidangan Undang-undang Komanwel di sini hari ini.
"Karpal telah sekali lagi mengambil peluang untuk tidak membincangkan isu di hadapannya tetapi menggunakan forum ini untuk tujuan politik dan yang tidak berkaitan undang-undang," katanya kepada pemberita di luar persidangan itu.
Heliliah berkata ada tempat lain bagi Karpal, timbalan pengerusi DAP dan anggota Parlimen Jelutong, untuk membangkitkan isu-isu atau masalah memandangkan yang beliau seorang ahli politik.
Karpal telah menimbulkan dakwaan mengenai kesumbangan melibatkan seorang hakim dan seorang peguam dalam satu kes mahkamah yang penting.
Beliau menggesa Majlis Peguam membuat satu kenyataan mengenai perkara itu dan turut menggesa hakim-hakim supaya "lebih berani untuk menghadapi eksekutif" dalam melaksanakan keadilan.
Di PUTRAJAYA, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim Ali berkata kerajaan kesal dengan tindakan Karpal kerana menimbulkan isu politik kononnya hakim-hakim di negara ini takut kepada pemerintah.
"Tindakan Karpal menimbulkan isu politik telah mencemari persidangan yang sebelum ini berjalan dalam suasana rasional dan profesional," katanya kepada pemberita selepas mengiringi kira-kira 100 peserta persidangan melawat sekitar pusat pentadbiran kerajaan, di sini hari ini.
Beliau berkata apa yang dilakukan Karpal bukan sahaja menjejaskan nama Malaysia di hadapan peserta luar negara, malah memperlihatkan kepada mereka bahawa ada segelintir peguam negara ini yang tidak profesional dalam karier mereka.
Ibrahim berkata tindakan Karpal telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan beberapa peserta tempatan dan luar negara yang menyifatkannya sebagai seorang ahli politik yang terdesak dan sedang mencari publisiti.
Menurutnya tingkah laku Karpal yang merupakan seorang daripada peguam bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah amat berbeza jika dibandingkan dengan tiga peguam Anwar lain - Christopher Fernando, Gurbachan Singh dan Raja Aziz Addruse.
"Saya memuji ketiga-tiga mereka kerana telah menunjukkan sikap profesional ketika membentangkan kertas kerja masing-masing pada persidangan itu,"katanya.
Mengenai kenyataan Raja Aziz yang agak kritikal semasa persidangan itu apabila meminta kerajaan memberi peluang kepada peguam-peguam Malaysia menyuarakan pandangan mereka secara bebas, Ibrahim berkata kerajaan dapat menerima pandangan beliau dengan terbuka kerana ia dinyatakan secara rasional dan ilmiah. -- BERNAMA