From:
Date: 21 Sep 1999
Time: 00:29:42
Memorandum Mengutuk Kejadian Keracunan Dato' Seri Anwar
DESAKAN PEMUDA PAS
YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pejabat Menteri Dalam Negeri, Jalan Datuk Onn, KUALA LUMPUR.
20 September 1999
Yang Amat Berhormat Datuk Seri,
MEMORANDUM MENGUTUK KEJADIAN KERACUNAN DATUK SERI ANWAR
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kejadian keracunan arsenik yang dialami oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam tahanan kerajaan Barisan Nasional yang dilaporkan baru-baru ini. Kejadian seumpama ini tidak sewajarnya berlaku di sebuah negara yang mendakwa mengamalkan demokrasi dan memberikan keadilan serta perlindungan keselamatan kepada rakyat.
DPP Pusat mengutuk keras kegagalan kerajaan BN untuk mempastikan keselamatan tahanan yang berada di bawah kerajaan. Jabatan Penjara dan Jabatan Polis yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri ternyata gagal berfungsi dengan berkesan bahkan boleh ditembusi oleh konspirator-konspirator jahat dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim ini.
DPP Pusat melihat kejadian keracuan ini sebagai suatu konspirasi politik untuk membunuh Datuk Seri Anwar. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku membuktikan wujudnya konspirasi menjatuhkan beliau dan Jabatan Polis, Jabatan Penjara serta Jabatan Peguam Negara telah diperkosa oleh pemimpin BN di dalam mencapai matlamat jahat mereka. Bermula dengan serangan fitnah yang memalukan yang dilancarkan oleh BN dengan diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, diikuti pula oleh peristiwa kecederaan Datuk Seri Anwar di lokap Bukit Aman akibat pukulan yang boleh membawa maut oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Nor. Tuduhan penyalahgunaan kuasa dan tuduhan liwat dijadikan medium oleh pemimpin BN untuk menjatuhkan maruah Datuk Seri Anwar. Beliau juga dituduh tanpa asas sebagai agen negara asing yang menggadai masa depan negara.
Kejadian terbaru dengan keracunan arsenik yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kewujudan usaha-usaha melakukan pembunuhan politik. Kandungan arsenik sebanyak 77 kali ganda daripada kadar normal membuktikan bahawa ada usaha ke arah itu. DPP Pusat amat kesal di atas kerakusan pemimpin kerajaan BN di dalam meneruskan survival politik mereka. Menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dan wang rakyat untuk menjatuhkan secara hina musuh politik adalah amalan biasa dalam politik BN dan kini dialami sendiri oleh bekas Timbalan Perdana Menteri.
DPP Pusat menyedari bahawa desas-desus yang mengatakan Datuk Seri Anwar akan menentang Perdana Menteri untuk jawatan Presiden Umno diikuti oleh pendedahan gejala kronisme, nepotisme dan korupsi oleh Pemuda Umno telah menjadi faktor segera beliau dijatuhkan. Media massa mainstream dinodai oleh pemimpin BN untuk menelanjangkan harga diri bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Perdana Menteri sendiri memainkan peranan dengan membuat penghakiman awal terhadap sebarang isu berkaitan yang akhirnya mempengaruhi keputusan mahkamah.
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendedahkan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah pemimpin BN melibatkan isu Perwaja dan Tan Sri Eric Chia; penglibatan tokoh korporat bersama Tun Daim Zainuddin; penyalahgunaan kuasa dalam mengagihkan saham oleh Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Rafidah Aziz dan kes Tan Sri Rahim Tamby Chik amat menakutan pemimpin BN. Akhirnya telah mendorong pasukan konspirator melalui beberapa pakatan sulit merancang pembunuhan senyap Datuk Seri Anwar.
DPP Pusat menyesali sikap buta sejarah PM yang mendakwa bukan menjadi budaya BN untuk melakukan pembunuhan terhadap musuh politik mereka. Peristiwa pembunuhan Ketua Pemuda PAS yang juga ahli Parlimen, Abdul Samad Ghul; pembunuhan Pesuruhjaya PAS Perlis, YB Haji Tahrim Ali dan pembunuhan Datuk Taha oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim adalah antara siri tragedi ini. Apakah PM masih hendak mendakwa ini bukan budaya politik BN. Inilah kecelakaan politik yang dialami rakyat akibat percaturan kotor yang dianuti pemimpin BN.
DPP Pusat juga amat mengesali sikap berdolak-dalih pemimpin BN di dalam menangani isu keracunan ini sehingga jelas kelihatan ada sesuatu yang hendak disembunyikan. Tuduhan Peguam Negara bahawa mungkin keluarga Datuk Seri Anwar yang meracun bekas Timbalan Perdana Menteri itu terlalu dangkal dan menampakkan wujudnya konspirasi. Jika dahulu Perdana Menteri menuduh Datuk Seri Anwar memukul sendiri dirinya, kini Peguam Negara mengulangi nada yang sama. Apakah ini suatu tindakan politik yang diatur dan dijawab mengikut skrip yang dirancang?
Perdana Menteri juga dengan penuh keangkuhan mempertikaikan pendedahan Datuk Seri Anwar yang dikatakan bermaksud dua (double meaning) berikutan pendedahan dibuat ketika hampir dengan Sidang Kemuncak APEC dan Persidangan Undang-undang Komanwel berlangsung. Isu 14 hari juga dibangkitkan sebagai asas pertikaian. Dakwaan dangkal ini jelas memperlihatkan usaha-usaha bagi melindungi penjenayah yang melakukan percubaan untuk membunuh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah keselamatan dan keracunan ini mesti diumumkan pada suatu masa yang lama sehingga membunuh mangsanya. Sikap berdolak-dalih Datuk Seri dan pemimpin BN ini menggambarkan bahawa tiada lagi keprihatinan terhadap keselamatan rakyat dan juga berusaha untuk mengalih isu demi menyelamatkan kejahatan pemimpin BN daripada terpapar kepada rakyat.
Tokoh-tokoh perubatan dan toksiologi dipergunakan untuk mempertikaikan cara pendedahan oleh Datuk Seri Anwar, bukannya dimanfaatkan untuk mempastikan keracunan ini benar-benar berlaku dan menjalankan usaha segera untuk memulihkan kesihatan beliau. Sepatutnya kerajaan BN menjalankan segera penyiasatan terhadap konspirator yang merancang pembunuhan ini bukannya saling tuduh menuduh dan berusaha mengalih isu daripada difahami oleh rakyat. Suruhanjaya penyiasatan yang bebas mesti dibentuk segera untuk mengenal pasti semua sekali penjenayah terlibat bukannya terus memperalatkan Peguam Negara untuk melindungi penjenayah. Itulah kerajaan bermaruah namanya!
DPP Pusat juga sangat kesal di atas kenyataan ‘buta politik’ Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mendakwa tindakan pembangkang menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagai mengheret raja-raja ke kancah politik. Beliau sebagai menteri kanan kerajaan sewajarnya menyedari bahawa Yang Di Pertuan Agong memiliki kuasa eksekutif yang diwakili oleh Perdana Menteri. Baginda juga merupakan raja dan payung kepada rakyat. Sebarang bentuk kezaliman kerajaan wajar diadu dan diminta campur tangan oleh rakyat untuk menyelesaikannya. Apakah sebarang aduan kepada baginda yang menjejaskan masa depan BN dianggap sebagai mencemarkan kedaulatan Tuanku Yang Di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu ?
DPP Pusat menuntut dan mendesak sekeras-kerasnya agar Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Penjara dan Peguam Negara meletak jawatan atau dipecat segera kerana mereka bukan sahaja gagal berperanan dengan berkesan tetapi juga membiarkan diri mereka dipergunakan semahunya oleh pemimpin BN. Kegagalan mereka untuk berkhidmat kepada negara sebaliknya berkhidmat untuk BN mesti didakwa di mahkamah dan dihukum sewajarnya memandangkan mereka telah menyalahgunakan kuasa dan mempersia-siakan wang rakyat demi kepentingan peribadi mereka.
Menteri Dalam Negeri selaku individu yang berkuasa dan diberi amanah untuk menjaga keselamatan negara juga mestilah mengambil tanggungjawab dengan meletakkan semua jawatan dalam kerajaan kerana kelemahan dan kegagalan melaksanakan tugas dengan sempurna sehingga menjejaskan keselamatan rakyat dan menjejaskan maruah negara. Seorang menteri yang lemah tidak wajar terus berada di dalam kerajaan. Kerajaan yang mewakili rakyat sepatutnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat bukannya membiarkan rakyat terus hidup ketakutan akibat penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin politik BN. Bagi DPP Pusat, YAB selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri mesti dipersalahkan sepenuhnya kerana kegagalan kerajaan memberikan perlindungan dan keselamatan kepada tahanan seperti Datuk Seri Anwar.
DPP Pusat juga mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan segera untuk membolehkan seorang pemimpin lain yang lebih bertanggungjawab dan berkaliber mentadbir negara ini dengan adil dan makmur. Perdana Menteri juga mesti membubarkan segera Parlimen untuk membolehkan satu pilihanraya umum diadakan segera dan membuka ruang kepada rakyat untuk menolak kepemimpinan yang zalim seperti pemimpin BN ini.
DPP Pusat sangat mengharapkan agar YAB dapat memberikan perhatian serius di atas apa ang sedang berlaku dan menganbil tindakan segera yang sewajarnya. Jika benar YAB adalah pemimpin dan kerajaan yang bermaruah, YAB semestinya memenuhi tuntutan kami.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat