From:
Date: 21 Sep 1999
Time: 09:45:28
PRESIDEN PPP NAFI LETAK JAWATAN
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Datuk M.Kayveas, yang jawatannya sebagai presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Sabtu lepas, menafikan khabar angin bahawa beliau telah membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai presiden parti itu.
Kayveas berkata beliau masih lagi menilai sejauh mana sokongan semua anggota parti itu, yang berjumlah lebih 250,000 orang, terhadap kepimpinan beliau.
"Saya belum buat sebarang keputusan lagi. Saya mahu tengok sama ada kita ada (menerima) sokongan daripada pihak-pihak yang tertentu.
"Adakah semua pihak yang terlibat dalam politik memberi sokongan kepada kita. Kalau ada sokongan penuh saya akan teruskan perjuangan ini," katanya pada persidangan berita di ibu pejabat PPP, di sini, hari ini.
Beliau berkata khabar angin mengenai peletakan jawatannya tersebar di kalangan anggota parti itu berikutan tindakannya, sejak keputusan mahkamah diumumkan, untuk tidak lagi menandatangani sebarang dokumen bagi pihak parti.
"Saya juga telah mengarahkan ibu pejabat parti untuk tidak lagi memproses sebarang permohonan oleh mana-mana individu untuk menjadi anggota baru parti," katanya.
Menurutnya beliau tidak akan membuat keputusan terburu-buru untuk meletakkan jawatan kerana tidak mahu tindakan itu disalah anggap sebagai cuba mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh semua anggota PPP.
Mahkamah Tinggi Seremban pada Sabtu lepas telah mengisytiharkan bahawa pengiktirafan yang diberikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada Kayveas dan lain-lain anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu adalah tidak sah dan batal.
Keputusan itu berdasarkan tuntutan plaintif, P.V. Das yang merupakan bekas setiausaha agung PPP, yang turut menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau (Das) sebagai presiden yang sah.
Kayveas berkata beliau kesal kerana hakim berkenaan, Datuk Mohamed Noor Abdullah, tidak memanggilnya untuk membela diri atau bercakap bagi pihak PPP walaupun beliau (Kayveas) telah dilantik secara sah sebagai Presiden PPP dalam perhimpunan agung parti itu pada 1996.
Sebelum itu, Kayveas telah dilantik oleh CEC parti berkenaan sebagai Pemangku Presiden pada 1993 bagi menggantikan S.I. Rajah yang telah diisytiharkan muflis oleh mahkamah.
Ketua Pemuda PPP Nasional, T.Murugiah dalam persidangan berita sebelum itu berkata seramai 45 anggota pergerakan itu akan mengadakan pertemuan dengan pihak ROS sedikit masa lagi bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi PPP sekarang.
Beliau berkata tindakan Das membawa kes kesahihan jawatan Kayveas dan lain-lain anggota CEC ke mahkamah adalah bertentangan dengan Artikel 18C Akta Pertubuhan, yang melarang mana-mana anggota parti politik membawa masalah dalaman parti ke mahkamah.
Naib Ketua Wanita PPP Nasional, Dr J.Vasantha dalam persidangan berita yang sama berkata anggota Pergerakan Wanita parti itu, yang berjumlah lebih 20,000 orang, juga menyokong sepenuhnya kepimpinan Kayveas. --BERNAMA