From:
Date: 22 Sep 1999
Time: 01:39:57
GAMIS TIDAK DIDALANGI PEMBANGKANG
Merujuk kepada majalah MASSA bil:205 keluaran 4-10 September 1999, saya merasa terpanggil untuk memberi respon kepada artikel yang bertajuk “ Gamis dialangi Pembangkang”.
Terlebih dahulu ingin saya membidas gaya penulisan penulisnya iaitu RAHAIZA ISMAIL yang telah menghasilkan suatu artikel secara emosi dan tidak berdasarkan fakta. Seharusnya mana- mana pihak yang ingin berbicara soal kemahasiswaan, mereka juga perlu turut bersama dengan budaya intelek yang didukung oleh mahasiswa. Yang dikatakan budaya intelek ialah suatu penelitian dan pemerhatian perlu berlandaskan fakta dan kajian yang terperinci agar tidak tersasar dari kebenaran.
Tohmahan mengatakan Gamis merupakan suatu pertubuhan yang tidak diketahui asal usul penubuhannya adalah suatu yang amat memalukan. Apakah penulis tidak pernah membaca buku Politik Kampus karangan Suhaimi Al-Maniri. Dalam buku tersebut ada menceritakan dengan jelas sejak bila Gamis ditubuhkan dan peranan yang pernah dimainkan oleh Gamis. Tuduhan yang menyatakan Gamis didalangi parti pembangkang tanpa mengemukakan bukti juga suatu yang amat memalukan dari perspektif keintelektualan. Barangkali perjuangan dan agenda kami dilihat sehaluan dengan barisan alternatif, ini tidak bermakna kami didalangi oleh mereka. Saya mencabar penulis berkenaan supaya mengemukakan bukti yang lengkap berkaitan tuduhan tersebut. Mengapakah bilamana Presiden Majlis Belia Malaysia mengemukakan usul menyokong kerajaan dalam mesyuarat agungnya dalam keadaan yang begitu mencurigakan tidak diambil perhatian oleh penulis. Secara jelas Sdr. Presiden MBM telah menggunakan kedudukan peribadi beliau untuk mengheret pertubuhan yang tiada kaitan dengan politik sepaya menyokong parti pemerintah. Bukankah beliau sebenarnya didalangi oleh parti politik?
Selain itu, saya melihat Dato’ Suhaimi Ibrahim juga bukanlah orang yang layak untuk membuat kenyataan menuduh Gamis didalangi pembangkang. Beliau yang juga merupakan wakil rakyat atas tiket Barisan Naional, dan juga ahli UMNO telah memimpin GPMS. Ini secara jelas menunjukkan GPMSlah yang sebenarnya didalangi oleh parti politik tertentu. Mengapakah penulis tidak mempertikaikan hal ini? Kami di kampus juga tidak pernah mendengar akan adanya peranan yang dimainkan oleh GPMS. GPMS tidak pernah pun bersuara bilamana yuran pengajian kian meningkat, biasiswa dimansuhkan dan digantikan dengan pinjaman dan yang terkini, pinjaman MARA perlu dibayar semula beserta bunga sebanyak 4%. Ini belum lagi kita lihat isu kurikulum kursus tertentu yang dirangka sesuka hati oleh pihak tertentu sehingga ianya tidak diiktiraf oleh badan profesional bidang berkenaan. Mana perginya dakwaan GPMS yang dikatakan memperjuangkan hak- hak pelajar Melayu. Yang kerap kita dengar ialah GPMS mengajak pelajar Melayu supaya tidak terlibat dengan parti politik yang ada dan mereka harus “bersyukur” dengan kerajaan yang telah melimpahkan “rahmat” selama ini. Bukankah GPMS hanya mempunyai agenda politik semata- mata daripada memperjuangkan nasib pelajar Melayu selama ini.
Tuduhan mengatakan Gamis tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan atau mana- mana universiti membuatkan Gamis tidak layak untuk mewakili golongan mahasiswa adalah amat dangkal. Nama Gamis yang bermula dengan perkataan Gabungan dan dilengkapi dengan perkataan Mahasiswa Islam Semenanjung sudah cukup memberikan maksud Gamis bukanlah suatu pertubuhan pelajar, tetapi ia lebih merupakan sebuah forum yang menggabungkan persatuan-persatuan mahasiswa Islam di semenanjung. Semua persatuan Mahasiswa Islam bergabung dibawah Gamis. Oleh itu Gamis tidak perlu mendaftarkan dirinya kepada agensi berkenaan kerana persatuan- persatuan yang bergabung tadi sememangnya telah pun sah di kampus masing-masing. Soal pengiktirafan mahasiswa tidak perlu dipertikaika lagi. Ini kerana pimpinan persatuan berkenaan telah dipilih secara demokrasi tulen oleh warga kampus mereka sekaligus menggambarkan mereka telah diberi kepercayaan sebagai wakil suara warga kampus mereka di dalam forum Gamis. Apakah cadangan kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Forum EAEC perlu mendapatkan kebenaran PBB terlebih dahulu? Adakah semua rakyat Malaysia bersetuju dengan penubuhan Forum tersebut. Oleh kerana kerajaan Malaysia telah dilantik secara demokrasi oleh rakyat Malaysia, maka mereka telah diberi mandat untuk mewakili negara dalam apa-apa tindaan di peringkat antarabangsa. Maka begitulah juga saya melihat sinonimnya tindakan kerajaan Malaysia itu dengan tindakan Persatuan Mahasiswa Islam yang bernaung dibawah Gamis.
Akhir sekali, saya ingin merumuskan di sini bahawa Gamis tidak didalangi oleh Parti Pembangkang seperti yang didakwa. Malah Gamis perlu dilihat sebagai suatu gabungan yang membawa suara mahasiswa di persada negara. Samada suara ini sealiran atau tidak dengan kerajaan adalah soal lain, tetapi penggabungan ini membuktikan kami mewakili aspirasi mahasiswa Islam secara majoriti. Sebarang pertikaian dan tuduhan terhadap kami perlulah dibuat secara ilmiah dan bukan berdasarkan emosi.
IMRAN BIN MOHD IBRAHIM NAIB PRESIDEN 3 GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMENANJUNG 21 September 1999