ReformIS

[ Contents | Search ]


POLIS DAN FRU MENGGUNAKAN SENJATA API SESUKA HATI !

From:
Date: 23 Sep 1999
Time: 00:39:51

Comments

Kenyataan PAS Wilayah Persekutuan POLIS DAN FRU MENGGUNAKAN SENJATA API SESUKA HATI !

PAS Wilayah Persekutuan memandang berat insiden seorang doktor yang dilapor ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan malam semalam. Kejadian malang yang membabitkan dua orang awam itu dikhuatiri akan menjejaskan kredibiliti dan reputasi pasukan polis. Walaupun siasatan awal mendapati tiga das tembakan itu dilepaskan ketika mangsa didakwa cuba merempuh polis dengan kereta yang dipandunya, ia menggambarkan sikap tidak profesional anggota polis terbabit dalam menangani kejadian genting seumpama itu.

Persoalannya, adakah anggota polis diberi kuasa tanpa batas untuk menggunakan senjata api bagi mempertahankan diri dari serangan orang awam yang tidak bersenjata mahupun mempunyai rekod jenayah? Adakah anggota polis boleh secara berwewenang membelasah orang awam yang menghadiri perhimpunan aman hanya kerana perhimpunan itu diadakan tanpa permit?

Sehubungan itu, PAS Wilayah Persekutuan juga mempersoalkan tindakan ganas anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang menembak gas pemedih mata, memancutkan air kimia dan membelasah orang ramai yang berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Negara, Ahad lalu. Tindakan kasar dan provokatif anggota FRU itu mengundang tindak balas daripada segelintir orang ramai yang hadir. Jika sebahagian besar orang ramai yang berhimpun gagal mengawal kemarahan mereka, kita yakin puluhan malah ratusan anggota polis akan tercedera.

Kebijaksanaan pihak polis juga dipersoalkan kerana wanita dan kanak-kanak turut berada di dalam kawasan masjid ketika "serangan" dilancarkan. PAS Wilayah juga mendesak siasatan rapi dibuat bagi mengenal pasti dalang disebalik insiden Masjid Negara baru-baru ini. Visual yang ditayangkan berulang kali oleh TV3 menunjukkan objek keras yang dilempar bukan datang daripada kumpulan orang ramai yang berhimpun secara aman, tetapi daripada arah bertentangan. PAS Wilayah yakin jika pihak polis, cawangan khas dan FRU benar-benar melaksanakan tugas mereka secara profesional, cekap dan bertoleransi, insiden mengakibatkan (hanya) tiga anggota polis dan puluhan orang ramai tercedera tidak akan berlaku. Ini terbukti apabila perhimpunan aman yang diadakan di Alor Setar, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor Bahru berjalan dengan baik dan aman. Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, PAS Wilayah Persekutuan menyeru pasukan polis supaya mempertingkatkan profesionalisme dan kecekapan mereka ketika berhadapan dengan rakyat yang tidak bersenjata. Peristiwa mantan Timbalan Perdana Menteri dibelasah sehingga parah oleh Ketua Polis Negara semasa berada dalam tahanan sewajarnya menjadi pengajaran pahit kepada anggota keselamatan. Insiden itu bukan sahaja menghakis kepercayaan awam terhadap pasukan keselamatan, malah ia menguatkan dakwaan bahawa institusi kepolisian negara telah diperalatkan golongan tertentu untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka. Pasukan polis perlu merealisasikan slogan "MESRA, CEPAT DAN BETUL" bukan saja kepada pemimpin-pemimpin BN dan penyokong-penyokong mereka, tetapi kepada semua rakyat Malaysia yang menjunjung sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

HAJI AASIMUDIN BIN SHAMAAN Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan


Last changed: September 23, 1999