ReformIS

[ Contents | Search ]


Kes berkaitan anak TG Nik A Aziz selesai.

From:
Date: 23 Sep 1999
Time: 10:13:05

Comments

BAPA ANGGAP KES ANAKNYA DIPUKUL GURU, SELESAI

JANGAN DIPOLITIKKAN KES ANAK SAYA... Helmi Hassan, 44, (kanan) bapa pelajar Mohd Jamaluddin, 14, yang di pukul oleh anak Menteri Besar Kelantan, menjelaskan isu mengenai anaknya itu, pada persidangan berita di JKR 10 , kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, di sini hari ini. Turut hadir peguam Takiyuddin Hassan.

KOTA BAHARU, 23 Sept (Bernama) -- Bapa Mohamed Jamaluddin, pelajar Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, yang didakwa dipukul guru agamanya, anak lelaki Menteri Besar Kelantan, hari ini berkata beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu kerana menganggap kes itu selesai.

Helmi Hassan, 44, berkata beliau telah berbincang dengan pihak sekolah yang diwakili Pengetua Mohamed Zain Abdul Rahman dan Penolong Kanan Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz mengenai perkara itu pagi ini.

"Mohamed Jamaluddin meminta maaf pada saya dan mengaku kesilapannya melanggar disiplin sekolah... pihak sekolah (juga) telah minta maaf dan saya maafkan," katanya pada sidang berita di sini yang turut dihadiri peguam, Takiyuddin Hassan.

Mohamed Jamaluddin, 14 tahun, dalam laporan polisnya Selasa lepas mendakwa guru agama yang juga guru disiplinnya Nik Adli Nik Abdul Aziz, telah menendang, menampar dan memukulnya dengan kerusi plastik kerana lewat pulang ke asrama, mengakibatkan dia menerima empat jahitan di kepala.

Nik Adli, 32, ditahan polis untuk siasatan pada hari yang sama dan dibebaskan atas jaminan polis dengan seorang penjamin semalam.

Helmi bagaimanapun berkata beliau sungguh kesal dan dukacita dengan perkara yang berlaku terhadap anak beliau dan berharap ia tidak berulang.

Beliau turut meminta kes itu tidak terus diperbesar-besarkan termasuk mengaitkannya dengan Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Helmi juga berkata Mohamed Jamaludian, anak sulungnya daripada lapan adik-beradik, masih terus belajar di sekolah berkenaan, di Kampung Pulau Melaka di sini, dan tidak ada cadangan untuk berpindah ke sekolah lain.

Helmi berkata beliau membuat kenyataan itu kerana didapati ada pihak yang cuba mempolitikkan isu anaknya.

"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan, maknanya isu ini hanya (membabitkan) anak saya dengan sekolah. Kalau ada pihak yang mempolitikkan isu itu saya akan berbincang dengan peguam saya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu Takiyuddin yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan memberi amaran supaya mana-mana pemimpin politik tidak mengeksploitasi kes itu.

"Kita tahu dan beri amaran kepada pihak-pihak tertentu kerana telah mempolitikkan isu ini untuk mengaibkan pimpinan tertinggi PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Ketua Polis Kelantan SAC 1 Datuk Mohd Yunus Othman ketika ditemui di sini, berkata siasatan terhadap kes itu masih diteruskan termasuk mendapatkan laporan perubatan dan apabila siap akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

"Ini proses siasatan biasa dan tidak ada apa yang hendak diberi publisiti atau untuk dipolitikkan," katanya. -- BERNAMA


Last changed: September 23, 1999