ReformIS

[ Contents | Search ]


Zaharuddin Ayub Ditahan 5 Hari, Tian Chua Dibelasah

From:
Date: 23 Sep 1999
Time: 11:17:19

Comments

Zaharuddin Ayub Ditahan 5 Hari, Tian Chua Dibelasah Oleh Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com]

Seorang lagi reformis, Zaharuddin Ayub ditahan reman selama 5 hari mulai hari ini, Khamis 23 September kerana dituduh terlibat dalam isu serangan kepada seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dalam satu perhimpunan aman reformasi pada Sabtu 11 September lalu.

Sebelum ini, enam (6) orang telah dikenal pasti terlibat. Sementara tiga orang, termasuk kartunis Zunar, sudah ditahan selama 4 hari dan kemudiannya berjaya dibebaskan atas perintah mahkamah tinggi. Arahan dari mahkamah ini berikutan terdapatnya bukti rakaman video bahawa mereka tidak terlibat. Malah, sebenarnya mereka bertujuan melindungi pegawai polis berkenaan.

Penahanan terbaru ini, dari insiden yang sepatutnya tidak menjadi isu atau kes, menunjukkan ada usaha "witch-hunting" dari pihak berwajib. Mereka yang cintakan keadilan dari seluruh negara wajarlah mengkritik sikap seperti ini.

Namun, selepas dijatuhkan hukuman reman selama 5 hari, Sdr Zaharuddin masih bersemangat. Malah, dia sempat melaungkan re-for-ma-si di luar mahkamah. Zaharuddin mungkin ditahan keseorangan memandangkan rakan-rakannya yang dikenal pasti belum lagi menyerah diri.

Sementara itu, semakin ramai pemimpin-pemimpin parti alternatif disebut akan ditahan. Pada Rabu 22 September 1999, lima (5) lagi nama disebut akan ditahan. Dua nama yang dikhabarkan akan turut ditahan ialah Ustaz Dr Harun Din dan Nurul Izzah, anak sulung Anwar dan Kak Wan. Namun, setakat ini, saya tidak menerima apa-apa maklumat lanjut.

Beberapa pemimpin yang belum ditahan tetapi sudah disenaraikan oleh polis seperti berikut:

Ruslan Kassim, Gobalan Krishnan, Lokman Noor Adam, Malek Hussin, Mustafa Kamil Ayyub, Hanafiah Man

Turut disebut-sebut bakal ditahan ialah Salahuddin Ayyub, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat. Semua pemimpin politik itu ditahan reman selama 5 hari, sementara Tian Chua & Mohd Ezam Mohd Noor dijatuhkan tempoh reman selama 6 hari mulai semalam, Rabu 22 September.

Peguam-peguam mereka semalam berusaha membuat revision (semakan) di mahkamah tinggi untuk mengurangkan tempoh reman atau membebaskan mereka tetapi usaha itu gagal. Hari ini Khamis 23 September, sekali lagi para peguam memohon harbeas corpus. Setakat ini, tiada berita tentang usaha harbeas corpus itu sampai kepada kami.

Sumber-sumber penyokong reformasi menyebutkan, Tian Chua dipukul oleh polis ketika di balai. Namun, saya sendiri tidak dapat mengesahkannya. Tian sudah ditahan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh reformasi, mulai 28 September 1998, November 1998 dan akhir sekali pada 14 April 1999. Tahanan kali ini merupakan tahanan reman kali keempat dalam tempoh setahun!

Dalam semua tangkapan ke atas Tian, beliau mengalami kecederaan akibat dibelasah oleh polis dengan teruk. Sebahagian cerita ini dapat dibaca di laman web SUARAM http://www.suaram.org/

Laporan setakat jam 4:15 petang Khamis 23 September 1999


Last changed: September 23, 1999